KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Wednesday, January 21, 2009

UUM JADI TUAN RUMAH KEPADA PELAJAR-PELAJAR UNIVERSITI AMERIKA DI KAHERAH

Oleh Abd Wahab bin Osman.

ALOR SETAR 19 Januari - Kolej Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok menjadi tuan rumah kepada 58 pelajar American Univerity in Cairo (AUC/Universiti Amerika di Kaherah) bermula 18 hingga 21 Januari 2009.

Rombongan tersebut disertai oleh 17 pelajar perempuan dan 41 pelajar lelaki yang berusia di antara 18 hingga 20 tahun.

Lawatan pelajar-pelajar AUC ke UUM itu diketuai oleh Charles Gordon, Pengarah Sukan merangkap Timbalan Dekan dan Atlet universiti berkenaan ekoran lawatan kakitangan Kolej Sastera dan Sains UUM yang pernah melawat AUC pada awal November tahun lepas.

Pengerusi Bidang Kemanusiaan Kolej Sastera dan Sains UUM, Profesor Madya Dr Nuraini Yusoff berkata, “tujuan Kolej Sastera dan Sains menjadi hos kepada pelajar-pelajar AUC adalah sebagai pelan strategik untuk mempromosi UUM kepada pelajar-pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.”

Beliau berkata demikian dalam satu majlis makan malam meraikan pelajar-pelajar AUC di pelantar berputar, Menara Alor Setar yang dihadiri oleh Pegawai Perhubungan Awam Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, Dzulkamal Zakaria mewakili Exco Pelancongan, YB Mohammad Radzhi Salleh.









Pada majlis itu Dzulkamal meminta rombongan AUC menceritakan pengalaman mereka tentang keindahan Negeri Kedah dan peluang-peluang pengajian yang turut terdapat di negeri ini apabila mereka pulang ke negara masing-masing.

“Kerajaan Negeri Kedah mengucapkan terima kasih kepada UUM yang sedia mengurus kunjungan pelajar-pelajar AUC ke negeri ini.” kata Dzulkamal.

Dr Nuraini menjelaskan bahawa pelajar-pelajar AUC diberi kemudahan pengingapan di Hotel Pusat Pembangunan Eksekutif UUM akan diberi peluang bermain sepaktakraw, bolasepak, bolakeranjang, futsal dan tennis di Sekolah Menengah Pulau Nyior, Kubang Pasu.

Katanya, “pelajar-pelajar AUC akan dibawa ke Langkawi untuk melawat Kilim Geopark, kereta kabel, Galeria Perdana, Eagle feeding, makan tengahari di Restoran Terapung dan menikmati sajian barbeque di Hotel Aseania pada sebelah malamnya.

“Mereka juga akan dibawa melawat Homestay di Kampung Jeruju, Jerlun untuk melihat proses membuat belacan dan berinteraksi dengan penduduk-penduduk kampung di situ..” kata Dr Nur Aini.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UUM Lt Kol Profesor Dr Abd Razak Cik, Penolong Naib Canselor UUM Profesor Madya Dr Suhaidi Hassan, Presiden Universitas Islam Riau, Profesor Dr Hassan Basri Jumin dan Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Roslan Ahmad.

Tuesday, January 20, 2009

30 TAHUN MENYEWA RUMAH ATAS TANAH MILIK PERSATUAN TOKONG CINA LUNAS

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS - Seorang suri rumah, Saudah Ibrahim, 49, yang menyewa sebuah rumah atas tanah milik Persatuan Tokong Cina Lunas selama 30 tahun merayu agar permohonannya untuk menduduki Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diberi pertimbangan semula ekoran pertambahan ahli keluarganya sejak 20 tahun lalu.

Suaminya, Abd Wahab Kassim, 49, seorang pemandu lori muatan kayu tidak mempunyai pendapatan tetap bahkan disahkan doktor agak uzur kerana mengidap penyakit gout.

Pasangan suami isteri itu yang mempunyai lima orang anak dan lima orang cucu mendakwa mereka telah memohon Skim Perumahan PPRT sebanyak dua kali namun hingga sekarang permohonan mereka tidak pernah mendapat jawapan.

Menurut Saudah Ibrahim, mereka 12 anak-beranak tinggal di rumah yang disewa berukuran 20 kaki X 20 kaki yang mengandungi dua buah bilik, manakala setiap bilik hanyalah berukuran 7 kaki X 7 kaki.

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech yang juga Pembantu Khas kepada Adun Lunas, Haji Alias Saad melapangkan masa untuk menziarahi dan mendekati masalah yang dihadapi oleh keluarga berkenaan.

Beliau berkata, “orang-orang melayu secara tradisinya mewarisi bakat kemiskinan sejak turun-temurun, disebabkan masalah perumahan yang biasa dihadapi oleh rakyat, secara relatifnya anak-anak yang miskin juga tidak dapat belajar dengan sempurna, kerana saiz rumah ini sangat kecil,

“Saiz bilik yang standard ialah 9 kaki X 9 kaki, adalah tidak masuk akal anak-anak dapat belajar dengan sempurna dalam sebuah rumah yang hanya mengandungi 2 buah bilik berukuran 7 kaki X 7 kaki,

“Saya bimbang dengan kadar kemiskinan oleh 52 keluarga di Kampung Batu 6 Lunas ini, gejala sosial akan cepat merebak dan yang menyedihkan sekali ialah ianya melibatkan keruntuhan moral di kalangan anak-anak melayu.” kata Haji Alias.

Dalam kunjungan ke rumah keluarga Saudah Ibrahim itu, Haji Alias Saad menyampaikan sedikit sumbangan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.

Wednesday, January 14, 2009

“JANGAN PILIH WARNA KAD PENGENALAN”

Oleh Abd Wahab bin Osman

KULIM 13 Januari - Seramai 61 orang ketua-ketua kampung dalam kawasan DUN Lunas menerima cop rasmi jawatan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) merangkap Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Alamanda, Kulim Inn dekat sini.

Menurut YB Mohammad Radzhi Salleh, penyerahan cop rasmi jawatan ketua-ketua kampung bererti menyerahkan kuasa kepada pemimpin-pemimpin yang terpilih di kalangan anggota masyarakat untuk memimpin kerajaan kecil di tempat masing-masing.
YB Radzhi mengingatkan ketua-ketua kampung supaya menyelesaikan masalah-masalah rakyat dengan penuh kebijaksanaan agar pembangunan-pembangunan yang dirancang di bawah Rancangan Pembangunan Daerah Kulim memberi manfaat kepada semua pihak.


















Beliau menggesa agar ketua-ketua kampung menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah dan kebijaksanaan tanpa mengira perbezaan politik dan warna kulit.

“ Jangan pilih warna kad pengenalan di kalangan rakyat, samada dari kalangan yang biru pekat, yang biru muda atau yang berwarna hijau,

“Bantu mereka bardasarkan daripada garis panduan yang disediakan oleh Al-Quran,

“Tuan-tuan dialu-alukan memberi cadangan yang membina untuk membangunkan kampung masing-masing kerana peruntukan sebanyak RM12 billion akan disalurkan di bawah Perancangan Pembangunan Daerah Kulim menjelang 2020,

Katanya, cadangan-cadangan yang menghalang pembangunan Daerah Kulim hanya merugikan semua pihak, dan ketua-ketua kampung hendaklah mengambil manfaat daripada perancangan yang disediakan itu kerana banyak tanah-tanah yang kosong perlu dibangunkan perumahan dan pendidikan untuk kebaikan semua.
“Tree Top Walk dan White Water Rafting di Sedim akan dipromosikan dalam Zoom Malaysia pada 5hb Mac 2009 sempena perasmian oleh Kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah.” katanya lagi.

















Tamat.

Thursday, January 8, 2009

KEDAH HERITAGE TRAIL PRODUK UTAMA PELANCONGAN DI KEDAH

Oleh Abd Wahab bin Osman.

ALOR STAR 7 Januari - Sebanyak 21 tempat bersejarah di sekitar bandaraya Alor Star dikenalpasti menjadi produk pelancongan yang utama di Negeri Kedah.
Tempat-tempat bersejarah di sekitar bandaraya Alor Star itu dikenali dengan nama Kedah Heritage Trail dan ia boleh dilawati dalam tempoh 12 jam sahaja.

Kedah Heritage Trail itu merangkumi Stadium Darul Aman, Gunung Keriang, Memorial Tunku Abd Rahman, Pentadbiran Muzium Kerajaan Negeri Kedah, Muzium Negeri, Menara Alor Star, Istana Kuning, Rumah Merdeka, Galeri Sultan Abd Halim, Balai Nobat, Muzium Diraja, Masjid Zahir, Galeri Seni Negeri, Monumen 250 Tahun Alor Star, Pekan Rabu, Kolej Sultan Abd Hamid, Pekan Cina, Tanjung Chali, Rumah Kelahiran Dr Mahathir, Maktab Mahmud dan Kota Kuala Kedah.

“Dalam sidang bajet yang lepas, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM 8.3 juta untuk menjalankan promosi pelancongan di Negeri Kedah.

“Peruntukan sebanyak RM 5 juta akan digunakan untuk tujuan promosi pelancongan, manakala bakinya pula akan digunakan untuk event-event pelancongan di seluruh negeri.

“Tourism player di Negeri Kedah hendaklah memainkan peranan yang lebih giat lagi untuk mempromosi Kedah Heritage Trail di kalangan pelancong-pelancong domestik, Selatan Thailand dan Timur Tengah untuk melawat tempat-tempat menarik yang disediakan.

“Kerajaan Negeri Kedah telah membuat keputusan untuk melanjutkan kempen Tahun Melawat Kedah pada tahun 2009 dengan menekankan cirri-ciri keindahan semulajadi, warisan sejarah dan cabaran aktiviti lasak sebagai tarikan utama pelancong ke Negeri Kedah,” kata YB Mohammad Radzhi.
Demikian ucapan aluan oleh YB Mohammad Radzhi Salleh ketika hadir pada Majlis Pelancaran Kedah Heritage Trail Yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di Bilik Gerakan Utama, Wisma Darul Aman.

Tamat

Tuesday, January 6, 2009

KEDAH BAKAL PERKENAL IDENTITI MAKANAN TRADISI TERSENDIRI.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 3 Januari - Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia, YB Mohammad Radzhi Salleh berkata kerajaan Negeri Kedah mempunyai perancangan untuk mempromosikan makanan tradisi tempatan agar dikenali di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Adun Lunas berkata, pelancong-pelancong luar ingin merasai masakan asli di Negeri Kedah yang semakin diabaikan oleh kebanyakan penduduk-penduduk tempatan.

Katanya, “Kita akan perkenalkan kembali masak gulai lemak ikan temenung, sambal tumis ikan keli dan sepat benua yang dibakar.

“Orang di luar sana juga ingin menikmati masakan daging pelanduk, rusa, ayam kampung yang dimasak mengikut selera masakan tempatan, dan mempunyai resipi yang berbeza daripada tempat-tempat lain.” katanya

YB Mohammad Radzhi menjelaskan bahawa menjelang Mac 2009, Pusat Rekreasi Sedim dijadualkan menganjurkan Pesta Makanan Tradisi yang akan mendapat perhatian para pengunjung ke tempat peranginan itu.

“Kita mempunyai perancangan untuk melibatkan kehadiran Tuanku Sultan Kedah melawat dan merasmikan “Sedim Tree Top Walk” sempena Hari Keputeraan dibawah Tuanku” kata Radzhi

Diminta mengulas kebanjiran warga asing yang memonopoli perniagaan di negeri ini, beliau berkata, “pada pertengahan Disember 2008 diadakan mesyuarat sumber tenaga manusia membincangkan isu berkenaan dan pelan tindakan khas diwujudkan untuk mengatasi masalah tersebut

“Kita menyedari 80% daripada peniaga-peniaga di Pulau Langkawi dikuasai oleh warga Thai, dan langkah-langkah yang sesuai dirangka untuk atasi masalah itu,

“Pelancong-pelancong yang datang ke sini bukan ingin menikmati masakan Thai, kerana masakan tersebut bukan terdiri daripada masakan tempatan di negara ini,

“Inilah masalah yang kita hadapi, dan itulah tujuan sebenar kenapa kita ingin memperkenalkan kembali agar masakan-masakan tradisi tempat mendapat tempat di kalangan pelancong-pelancong dan orang-orang tempatan.” kata YB Mohammad Radzhi

Tamat

Saturday, January 3, 2009

67 TERIMA SUMBANGAN BASIKAL.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 2 Januari - Seramai 67 orang murid daripada lapan buah sekolah dalam DUN Lunas terpilih menerima sumbangan basikal dalam satu majlis yang disampaikan oleh Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh.

Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Sri Limau, Sekolah Kebangsaan Jalan Paya Besar, Sekolah Kebangsaan Taman Ria, Sekolah Kebangsaan Sungai Seluang, Sekolah Kebangsaan Lunas Jaya, Sekolah Kebangsaan Taman Selasih, Sekolah Kebangsaan Keladi dan Sekolah Kebangsaan Ayer Merah, Kulim.

Majlis sumbangan basikal tersebut diadakan di perkarangan kediaman Adun Lunas, di Taman Senangin, Kilang Lama pada jam 9.30 pagi.

Dalam ucapan alu-aluannya, Mohammad Radzhi berkata, sumbangan yang disampaikan oleh beliau itu adalah pemberian zakat oleh badan koporat yang menjalankan tanggungjawab mereka membantu golongan yang layak dan kurang bernasib baik.

Beliau menjelaskan bahawa kriteria pemilihan murid-murid berkenaan menerima sumbangan basikal tersebut ditentukan oleh pihak sekolah.

“Hanya golongan yang termasuk dalam lapan asnaf sahaja yang layak menerima sumbangan zakat daripada badan koporat itu,

“Pihak sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menentukan murid-murid yang layak menerima sumbangan tersebut.” kata YB Mohammad Radzhi.

Hadir sama ialah Cikgu Hamid Othman, Haji Alias Saad, Roslan Hamid, Jamarrudin Abu Hasan dan Ketua-ketua Kampung dalam DUN Lunas.

Tamat

Friday, January 2, 2009

PERTANDINGAN BOLASEPAK 7 SEBELAH TAMAN KOBIS DISAMBUT MERIAH.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 30 Disember - Kira-kira 50 pemain bolasepak yang berumur di antara 10 hingga 35 tahun menyertai Pertandingan Bolasepak 7 Sebelah merebut Piala Pusingan Komuniti Taman Kobis baru-baru ini.

Pertandingan yang bermula jam 10 pagi itu diadakan di Padang Awam Taman Kobis disempurnakan dengan bacaan doa selamat oleh imam Taman Kobis merangkap Ketua Komuniti Taman Lobak, Idris Md Rawi.

Pertandingan Bolasepak 7 Sebelah itu dianjurkan oleh penduduk/komuniti Taman Kobis turut disertai bekas pemain bolasepak Pulau Mutiara era 80-an, Zakaria Maidin, pemain yang seangkatan dengan Jelani Wilastra, Rahim Robin, Ridzuan Abddullah dan R.Rukumaran.

Zakaria Maidin yang merupakan penduduk tetap Taman Kobis ketika ditemui berkata, beliau berasa kagum dengan kesungguhan penduduk-penduduk Taman Kobis menganjurkan pertandingan bolasepak di antara komuniti itu kerana penglibatan semua pihak termasuk surau di situ yang menyediakan jamuan tengahari.

Katanya, beliau telah mengenalpasti beberapa orang pemain muda yang berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tiga daripada pemain-pemain itu mempunyai skill kawalan bola yang baik di samping mempunyai bakat membuat hantaran bola yang sangat sempurna,

“Saya ingin bekerjasama dengan penduduk-penduduk Taman Kobis ini untuk membimbing pemain-pemain muda berkongsi pengalaman dengan saya sebagai seorang pemain bek kanan Skuad Pulau Pinang suatu masa dulu.” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk-penduduk Taman Kobis, Abdul Razak Abdullah berharap menjelang Mac 2009, Sukaneka Taman Kobis akan diadakan secara besar-besaran bagi mengisi program Taman Kobis yang tidak aktif sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Kampung/Komuniti Taman Sawi, Suhaimi AMK berkata, “Kami berharap semua pihak dapat memainkan peranan bagi menyediakan prasarana dan kemudahan yang lebih baik di Taman Kobis ini pada masa-masa akan datang,

“Kemudahan-kemudahan asas seperti tiang lampu, gelanggang sepak takraw, badminton bola tampar dan padang bolasepak yang diselenggara dengan baik agar program-program kemasyarkatan dapat dianjurkan dengan lebih sempurna.” kata Suhaimi AMK yang menjadi tulang belakang penganjuran Pertandingan Bolasepak 7 Sebelah itu.

Thursday, January 1, 2009

KEPUTUSAN MESYUARAT BIRO POLITIK PKR BERHUBUNG KES MANIKAVASGAM DAN JENABALA.

01 Januari 2009

Biro Politik Parti Keadilan Rakyat telah mengadakan mesyuarat pada malam 31 Disember 2008. Selain kes Sdr Manikavasagam dan Jenabala, yang mengugut hendak keluar parti, kami membincangkan lima perkara lain dalam Agenda. Antaranya ialah laporan mengenai Sarawak, pindaan perlembagaan parti dan kongres nasional khas yang bakal diadakan pada akhir bulan Februari.

Mesyuarat mengambil perhatian tentang laporan meluas oleh sesetengah media yang dikuasai pemerintah tentang kes Manikavasagam khususnya. Dari laporan tersebut nyata sekali editor-editor media itu sama sekali tidak menghormati etika kewartawanan. Media mereka mengada-adakan hal yang tiada dan memutarbelit kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan, terutama PKR.

Seperti yang diketahui, Manikavasagam tidak jadi keluar parti atau menarik diri sebagai Ahli Parlimen PKR. Beliau hanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor, iaitu jawatan yang dilantik oleh Pengerusi Perhubungan, TS Khalid Ibrahim. Ini cerita lama sebab sejak bulan September 2008 lagi beliau telah mengumumkan hasrat ini.

Berita yang kononnya ahli India dalam PKR akan keluar beramai-ramai dari parti tidak berlaku. Mesyuarat yang ditaja oleh Jenabala itu gagal. Tidak ada pemimpin India dari PKR yang hadir. Bilangan wartawan yang berkumpul mengharapkan berita hangat dari mesyuarat tersebut lebih ramai dari ahli biasa yang menghadiri mesyuarat ini. Bukan saja Jenabala kecewa, bahkan wartawan pun kecewa. Dua minggu lalu Jenabala digugurkan dari jawatannya sebagai Timbalan Setiausaha Agung kerana diisytiharkan bankrap.

Kami mendapat tahu ada pihak dari Umno dan MIC yang menghubungi beberapa orang ahli India dalam PKR dengan tujuan buruk. Pihak ini memperalatkan media yang mereka kuasa untuk membesar-besarkan berita dusta. Sebagimana yang kami duga dari awal, pihak ini gagal. Untuk pengetahuan semua, Pakatan dan khususnya PKR terus kuat dan bersatu padu dengan mendapat sokongan majoriti dari semua kaum.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden PKR