31 Disember 2008.
KULIM - Gembira dan sedih. Itulah yang dirasakan Thaivani a/p Ramasamy, 44 apabila anak sulungnya, Elvarasi a/p Ravienthevan berjaya mendapat 7A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dikeluarkan semalam.
Dia yang kematian suami sejak 10 tahun lalu membesarkan tiga anaknya seorang diri dengan menyara hidup sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di sini.
Katanya, walaupun pendapatan tidak seberapa iaitu sekitar RM300 sebulan tetapi dia masih mampu menyara dan memberi pendidikan kepada anaknya yang masih bersekolah.
“Saya amat berbangga dan terharu dengan kejayaan anak saya hari ini dan berharap dia akan menjadi seorang yang berguna kelak walaupun ayahnya tiada untuk melihat kejayaan anaknya ini,” katanya.
Sementara itu Elvarasi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah sangat gembira mendapat keputusan cemerlang itu dan berjanji akan meneruskan kecemerlangan pelajarannya pada masa akan datang.
Katanya, status sebagai anak tukang cuci dan tiada ayah sebagai ketua keluarga bukan penghalang kepadanya yang ingin menjadi seorang pakar forensik suatu hari nanti.
“Saya akan terus bersekolah di sini dan berada di samping ibu dan adik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Dipetik dari : Akhbar Harian Sinar.
No comments:
Post a Comment