KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Friday, January 2, 2009

PERTANDINGAN BOLASEPAK 7 SEBELAH TAMAN KOBIS DISAMBUT MERIAH.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 30 Disember - Kira-kira 50 pemain bolasepak yang berumur di antara 10 hingga 35 tahun menyertai Pertandingan Bolasepak 7 Sebelah merebut Piala Pusingan Komuniti Taman Kobis baru-baru ini.

Pertandingan yang bermula jam 10 pagi itu diadakan di Padang Awam Taman Kobis disempurnakan dengan bacaan doa selamat oleh imam Taman Kobis merangkap Ketua Komuniti Taman Lobak, Idris Md Rawi.

Pertandingan Bolasepak 7 Sebelah itu dianjurkan oleh penduduk/komuniti Taman Kobis turut disertai bekas pemain bolasepak Pulau Mutiara era 80-an, Zakaria Maidin, pemain yang seangkatan dengan Jelani Wilastra, Rahim Robin, Ridzuan Abddullah dan R.Rukumaran.

Zakaria Maidin yang merupakan penduduk tetap Taman Kobis ketika ditemui berkata, beliau berasa kagum dengan kesungguhan penduduk-penduduk Taman Kobis menganjurkan pertandingan bolasepak di antara komuniti itu kerana penglibatan semua pihak termasuk surau di situ yang menyediakan jamuan tengahari.

Katanya, beliau telah mengenalpasti beberapa orang pemain muda yang berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tiga daripada pemain-pemain itu mempunyai skill kawalan bola yang baik di samping mempunyai bakat membuat hantaran bola yang sangat sempurna,

“Saya ingin bekerjasama dengan penduduk-penduduk Taman Kobis ini untuk membimbing pemain-pemain muda berkongsi pengalaman dengan saya sebagai seorang pemain bek kanan Skuad Pulau Pinang suatu masa dulu.” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk-penduduk Taman Kobis, Abdul Razak Abdullah berharap menjelang Mac 2009, Sukaneka Taman Kobis akan diadakan secara besar-besaran bagi mengisi program Taman Kobis yang tidak aktif sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Kampung/Komuniti Taman Sawi, Suhaimi AMK berkata, “Kami berharap semua pihak dapat memainkan peranan bagi menyediakan prasarana dan kemudahan yang lebih baik di Taman Kobis ini pada masa-masa akan datang,

“Kemudahan-kemudahan asas seperti tiang lampu, gelanggang sepak takraw, badminton bola tampar dan padang bolasepak yang diselenggara dengan baik agar program-program kemasyarkatan dapat dianjurkan dengan lebih sempurna.” kata Suhaimi AMK yang menjadi tulang belakang penganjuran Pertandingan Bolasepak 7 Sebelah itu.

No comments: