KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Wednesday, November 5, 2008

BPR KEDAH Sedang Siasat 9 Kes Berprofil Tinggi.

ALOR STAR, 4 Nov (Bernama) -- Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kedah sedang menyiasat sembilan kes yang dianggap berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik didakwa menyogok wang kepada perwakilan semasa berlangsung pemilihan peringkat bahagian Umno.

Pengarahnya, Nooraziah Abdul Manaf berkata siasatan juga dibuat terhadap syarikat-syarikat berkaitan kerajaan begeri Kedah (GLC) selepas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mendedahkan beberapa penyelewengan yang berlaku pada Sept lepas, dan terbaru minggu lepas.

Katanya kes membabitkan ahli politik Umno disiasat selepas pihaknya menerima aduan daripada perwakilan Umno sendiri Oktober lepas semasa mesyuarat perwakilan bahagian berlansung.

"BPR menyiasat semua kes berunsur rasuah atau penyelewengan, tetapi dalam kes politik Umno sukar untuk mengambil tindakan kerana BPR tidak mendapat kerjasama pengadu yang memberi pelbagai alasan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas jawatan Pengarah BPR Kedah di sini, hari ini.

Nooraziah, 51, memangku pangkat Timbalan Pesuruhjaya I (TPJ I), mengambil alih jawatan itu daripada Idrus Jaaffar, 49, (Penolong Kanan Pesuruhjaya I (PKPj I) yang ditukarkan ke Pulau Pinang sebagai timbalan pengarah.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua pengarah II BPR, Datuk Zakaria Jaffar dan pegawai-pegawai kanan BPR Kedah.

Bagaimanapun siasatan terhadap penyelewengan membabitkan GLC berjalan lancar dan menunjukan perkembangan positif, kata Nooraziah yang enggan mengulas lanjut.

"Dalam membuat siasatan kami tidak memujuk pengadu atau saksi, dan terserah kepada mereka untuk memberi kenyataan. Sebab itu ada kes dapat diselesaikan dalam tempoh singkat dan ada yang mengambil masa bertahun lamanya," katanya.

Menurut Nooraziah dari Januari hingga 3 November lepas, 28 orang ditangkap hasil 736 maklumat orang ramai yang diterima berbanding 23 orang tahun lepas dari 739 maklumat yang diterima. Katanya 423 maklumat yang diterima berunsur rasuah dan 313 tiada unsur rasuah, yang membawa kepada 51 kes dibuka kertas siasatan dan menghasilkan barangan serta wang tunai disita berjumlah RM8,775 tidak termasuk tiga jentera pertanian.

No comments: