KULIM 15 Disember - Seramai 80 peserta menyertai Kembara Agro Tourism bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dari 12 hingga 16 Disember 2008 sejauh 600 kilometer melalui beberapa daerah di sekitar Negeri Kedah dan Perlis.
Tujuan program ini adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk pelancongan yang berasaskan pertanian di Negeri Kedah dan Perlis.
Antara lokasi menarik yang dilawati peserta-peserta Kembara di Negeri Kedah ialah Istana Kuning, Balai Nobat, Balai Besar, Masjid Zahir, Istana Anak Bukit, Muzium Padi dan Taman Jubli di sekitar bandar Alor Star.
Selain itu peserta juga dibawa ke Kota Kuala Kedah, Tanjung Dawai, Kilang Arang, Sungai Merbok, Hutan Lipur Bukit Hijau. Tree Top Walk, Tapak Rekreasi Ulu Legong, Empangan Muda dan Pedu, Taman Rusa, Taman Herba, Ladang Ternakan Kerbau, Ladang DXN, Ladang Limau Bali dan Ladang Jagung Sime Darby di sekitar Negeri Kedah.
Manakala di Perlis para peserta kembara dibawa ke Ladang Tebu Chuping, Tasik Timah Tasoh, Pusat Pertanian Bukit Temiang,Taman Herba Perlis, Ladang Nipah Kuala Sanglang, Homestay Jeruju dan Homestay Kampung Raga.
Peserta – peserta kembara ini terdiri daripada wakil – wakil Pusat Penerangan Pelancongan dari seluruh Malaysia, media – media, hotel, badan – badan korporat dari Malaysia dan Singapura.
Rombongan ini juga turut disertai oleh E-man Cafe yang menaja minuman koko dan kopi untuk para peserta sepanjang perjalanan kembara.
Sebanyak 30 buah 4WD dan 4 buah motorsikal berkuasa tinggi telah digunakan sepanjang perjalanan kembara ini di sekitar Negeri Kedah dan Perlis.
Menurut Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia, YB Mohammad Radzhi Salleh, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukkan berjumlah RM 80 juta dalam RMK- 9 untuk pembangunan pelancongan di Negeri Kedah.
"Dalam sidang Bajet 2009, kerajaan negeri Kedah telah meluluskan peruntukkan berjumlah RM 8.3 juta untuk mempromosi pelancongan di seluruh negeri Kedah,
"Pada awal Mac 2009 Pertandingan Rentas Ombak (Wave Challenge) akan diadakan di Langkawi yang melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun. Acara berenang bebas ini dari sebuah pulau menuju ke pantai sejauh tujuh kilometer," katanya di majlis jamuan tengah hari di Hutan Lipur Sungai Sedim, Kulim.
Ujarnya lagi, Pertandingan Rentas Ombak itu bakal menarik pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara sebagai kegiatan paling mencabar pernah diadakan di sini.
Pelepasan konvoi kembara yang bermula di Darulaman Golf & Country Club dan berakhir di Pedu ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kedah, Dato' Othman Aziz, Pengurus Besar MADA, Haji Abdul Rahim Saleh dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Dato'Haji Bashirudin Bin Haji Jamil.
No comments:
Post a Comment