KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Wednesday, October 15, 2008

SITI AMINAH RADZI JOHAN TILAWAH ALQURAN 2 TAHUN BERTURUT-TURUT
OLEH ABD WAHAB BIN OSMAN
KUALA KETIL 26 September - Siti Aminah Radzi murid Darjah 4 muncul johan qariah tilawah AlQuran peringkat kanak-kanak yang diadakan di Masjid Jamek Kuala Ketil.
Beliau di antara peserta berusia 12 tahun ke bawah memungut 84 mata dan memenanginya 2 tahun berturut-turut mengalahkan 36 peserta yang lain.
Bagi kategori qariah, tempat ke 2 dimenangi oleh Nurul Aliya Shaukat Ali (75 mata) dan tempat ke 3 oleh Nurul Majan Anuar Halimuddin (74 mata),
Bagi kategori qari pula, tempat pertama dimenangi oleh Mohd Fitri Ahmad (73 mata), Mohd Nasirudin Ishak (72 mata) dan ke 3 oleh Mohd Aiman Abd Malik (67 mata).
Menurut Imam Muda Masjid Jamek Kuala Ketil, Ustaz Anuar Halimudin Abu Bakar, 40, beliau berkata tilawah yang diadakan kali ke 12 itu berjaya memupuk minat di kalangan generasi muda untuk menyertai tilawah AlQuran sehingga melahirkan Siti Aminah Radzi johan Daerah Baling.
Qari dan qariah yang terdiri dari 28 lelaki dan 9 perempuan itu, ditawarkan hadiah johan RM 30, Naib johan RM 20 tempat ke 3 RM 10. Lain-lain peserta menerima hadiah saguhati hamper.
Juri yang mengadili tilawah itu terdiri daripada 3 orang guru pakar tajwid yang mengajar di sekolah-sekolah berdekatan.
Peserta-peserta dikehendaki memperdengarkan surah-surah wajib dan satu pilihan surah-surah pendek.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Adun Lunas, Azehar Ahmad.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Merbok, Dato Rashid Din menyampaikan kira-kira 45 bungkusan hamper kepada golongan yang tidak bernasib baik terdiri dari 14 orang India, 10 orang Cina dan selebihnya orang-orang Islam.
Katanya, “saya kagum dengan kehadiran orang-orang bukan Islam dalam majlis di Masjid ini, lebih-lebih lagi berbuka puasa bersama-sama dengan anak kariah yang beragama Islam.”
Menurut S.Chandru, 40, seorang ahli perniagaan, beliau berkata inilah kali pertama dijemput berbuka puasa bersama-sama orang Islam di Masjid.
Begitu juga Chong Sung Lim,48, Ahli Majlis Daerah Baling berkata kali ke 3 beliau berbuka puasa bersama-sama orang Islam.
Tidak ketinggalan Lai Chang Yaw, 41, berkata inilah kali ke 2 beliau dijemput berbuka puasa bersama-sama orang Islam.
Rata-rata mereka yang ditemui selepas berbuka puasa sependapat bahawa mereka dapat menyaksikan sendiri orang-orang yang tidak bernasib baik dibantu ketika menjelang perayaan Hari Raya.
Menurut Penyelaras Program, Mohd Aziz Shukri Mohd Amin, beliau berkata program ini dianjurkan oleh Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia, YB Radzhi Salleh dengan kerjasama Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Kedah, Saiful Izham Ramli.
Tambahnya lagi, pada Hari Raya Pertama kanak-kanak akan diberikan duit raya di perkarangan Masjid Jamek Kuala Ketil.

Tamat

No comments: