KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Thursday, June 11, 2009

Saya Tinggal Sehelai Sepinggang.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 5 Jun - "Ketika kejadian kebakaran itu berlaku, saya tidak ada di rumah. Ketika itu saya berada di Butterworth atas urusan perniagaan."

Demikian penjelasan yang dibuat oleh Majlis Ketua Kampung (MKK) kampung Simpang Tiga Keladi, Hisham Hussin, 36, yang ditemui di rumahnya di Kampung Haji Arshad, dekat sini.

"Saya terima panggilan telefon dari jiran rumah saya kira-kira jam tiga petang memberitahu rumah saya terbakar,

"Saya bergegas pulang dan mendapati rumah saya hangus terbakar dan segala dokumen-dokumen penting tidak dapat diselamatkan." kata Hisham
Dalam kejadian kebakaran itu, selain rumah Hisham, dua buah rumah berdekatan turut terbakar dan musnah dijilat api. Kebakaran yang berlaku dalam tempoh 15 minit itu menyebabkan ketiga-tiga buah rumah keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas dan jumlah kerugian setakat ini tidak dapat dipastikan lagi.

Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh yang dimaklumkan kejadian kebakaran itu melawat mangsa kebakaran.

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech, Haji Elias Saad yang turut melawat tempat kejadian menyampaikan sumbangan sementara, dan meminta Angkatan Muda Keadilan (AMK) Padang Serai segera mengambil inisiatif membantu keluarga-keluarga mangsa terbabit.



Rayuan Sumbangan dari AMK Padang Serai :

Bismillahirrahmanirrahim...

Seorang dari sahabat kita yang sama-sama berjuang untuk memenangkan Pakatan Rakyat, Saudara Hisham Bin Hussin (Tel : 016-426 8889) telah ditimpa musibah.

Kediaman beliau beralamat di No. 126 Kampung Haji Arshad, Simpang Tiga Keladi, 09000 kulim, Kedah telah hangus dijilat api pada jam lebih kurang 12:45 tengahari (5/6/2009).
Semasa kejadian beliau tiada dirumah. Isteri beliau dan anak-anaknya seramai 4 orang telah berjaya menyelamatkan diri dan terhindar dari sebarang kecederaan.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan Bahagian Padang Serai. Pendapatan utama beliau ialah melalui hasil perniagaan di pasar-pasar malam sekitar Kulim, Kedah.

Dengan ini AJK AMK Padang Serai telah sepakat dan melancarkan “Tabung Mangsa Kebakaran” untuk membantu meringankan beban beliau.

Sumbangan material (pakaian, makanan, peralatan sekolah dan sebagainya) juga adalah digalakkan.

Derma boleh disalurkan melalui Tabung AMK Padang Serai di :

-Nama Pemegang akaun : Nik Hafiz Najmudean Bin Nik Mohd Nor
(Pemegang Amanah) Akaun Maybank : 157139652731 (Wadiah)
No Tel : 012-494 8397.

Atau boleh dihubungi juga :

-Sdr. Hazim Bin Selimin (019-549 8873)Ketua AMK Bahagian Padang Serai.

Sekian,Terima kasih.

Nik Hafiz Najmudean Bin Nik Mohd Nor
Setiausaha AMK / Bahagian PKR Padang Serai
Tel : 012-494 8397

Sunday, June 7, 2009

ALMA RANGERS Juara Piala K.S.M Padang Serai.

Oleh Abd Wahab bin Osman.
PADANG SERAI - Sebanyak 48 buah pasukan dari daerah Ipoh, Grik, Seberang Perai Utara dan Sungai Petani menyertai Pertandingan Bola Sepak 9 sebelah merebut Piala Kelab Sukan Mahsuri (K.S.M) Padang Serai baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir, Kelab Alma Rangers muncul juara apabila ia menewaskan Kelab Y 2 Boys 1-0 di Padang Awam Taman Mahsuri.

Alma Rangers membawa pulang wang tunai RM 2,000 bersama piala iringan serta medal. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh.

Dalam ucapan perasmian penutup, YB Mohammad Radzhi Salleh menyeru agar pihak penganjur lebih kerap mengadakan pertandingan-pertandingan bola sepak supaya penyertaan pelbagai pihak dapat meningkatkan lagi hubungan intergrasi nasional.
“Sukan merupakan wadah terbaik untuk memupuk intergrasi nasional di kalangan penduduk-penduduk di sini yang terdiri daripada berbilang kaum.” kata YB Mohammad Radzhi

Menurut pengerusi pertandingan, Ishak Md Nor, Kelab Sukan Mahsuri akan memberi sumbangan kepada Tabung Dana Pembinaan Surau As-Syakirin Taman Mahsuri Fasa 3.

Pada pertandingan itu, pasukan Tamilan FC menduduki tempat ketiga dan Highlander FC menduduki tempat keempat.

Saturday, June 6, 2009

Ke Majlis Perkahwinan Di Taman Angsana.

Oleh Abd Wahab Bin Osman.

LUNAS 6 Jun - Ketua Kampung/Komuniti Taman Angsana, Ideris Safar yang melangsungkan perkahwinan anak perempuannya, Norfaeizah Ideris dengan pasangannya, Mohamad Khori Ahmad menerima kehadiran Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh.

YB Mohammad yang ditemani isterinya diiringi oleh Ketua Kampung/Komuniti Taman Selasih, Haji Halim Haji Ismail dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech, Haji Elias Saad disambut tuan rumah, Ideris Safar dan isteri serta tetamu-tetamu yang berada di situ.

Majlis perkahwinan yang berlangsung di rumah bernombor 674, Lorong Angsana 9/2, Taman Angsana itu dihadiri ramai kenalan dan aktivis-aktivis parti.

Adun Lunas melapangkan masa agak lama selepas menjamu selera dan turut berbincang dengan tuan rumah sebelum meninggalkan majlis perkahwinan tersebut.

"Saya berasa sangat gembira bila Pak Deris mengundang saya ke majlis perkahwinan ini. Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang menyambut dan meraikan saya dengan baik." kata YB Mohammad Radzhi

"Insyaallah, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tuntutan ke majlis perkahwinan di Taman Angsana ini pada masa-masa akan datang pula." ujarnya lagi.

Friday, June 5, 2009

Jejak-Jejak Fakir.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS - Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh yang diiringi oleh Ketua-ketua kampung Sungai Seluang, Sungai Limau, Taman Kobis dan Pembantu Khas, Jamaruddin Abu Hassan, Mohd Aziz Sukri Mohd Amin serta Haji Elias Saad melapangkan masa melawat beberapa buah keluarga miskin dalam DUN Lunas.


Adun Lunas yang turun padang turut melawat keluarga ibu tunggal di Kampung Siam, keluarga India yang menghadapi masalah menyekolahkan anak-anak di Sekolah Tamil di Paya Besar, kanak-kanak perempuan yang mengidap penyakit jantung berlubang di Taman Lobak dan beberapa buah rumah di sekitar Sungai Seluang.

Dalam lawatan itu beliau turut menyampaikan sumbangan hamper kepada keluarga yang tidak bernasib baik untuk meringankan bebanan keluarga berkenaan.

YB Mohammad Radzhi berkata, siri jejak fakir yang diatur oleh Pejabat Pusat Khidmat Adun Lunas adalah untuk mendampingi anggota masyarakat secara lebih dekat.

“Program ini tidak terhenti di sini sahaja, ia akan diteruskan dari masa ke semasa agar Pejabat Pusat Khidmat Adun Lunas dapat memainkan peranan membantu masyarakat yang tidak bernasib baik.” kata Adun Lunas

“Aduan orang ramai yang berkaitan tanah runtuh, masalah perparitan, jadual pungutan sampah dan lain-lain sentiasa mendapat perhatian daripada Pejabat Pusat Khidmat Adun Lunas,
“Alhamdulillah, Tuan Pegawai Daerah Kulim sentiasa member kerjasama terhadap aduan yang telah dibangkitkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Adun Lunas ini.” katanya lagi


Kem Motivasi Bentuk Insan Cemerlang.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 5 Jun - Seramai 170 orang murid-murid daripada Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Seluang, Permatang Tok Dik dan Paya Serdang menghadiri Kem Motivasi dan Ibadah 2009.

Kem Motivasi yang dianjurkan oleh Belia Masjid Sungai Seluang itu diadakan selama dua hari bermula 4 hingga 5 Jun di Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang.

Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh yang menyampaikan ucapan dalam majlis penutup program itu berkata, Kem Motivasi dan Ibadah merupakan program yang paling berkesan untuk membentuk murid-murid sekolah menjadi insan yang cemerlang.

‘Ibu bapa perlu memberi kerjasama agar anak-anak mereka tertarik dengan program-program kem motivasi yang dapat membentuk anak-anak mereka itu menjadi insan cemerlang,

“Murid-murid sekolah didedahkan melalui latihan-latihan ibadah seperti gotong- royong membersih kawasan masjid, Qiamulail dan motivasi bersama ibu bapa akan mencapai matlamat melahirkan sahsiah insan cemerlang.” kata Adun Lunas.

Pada majlis itu, YB Mohammad Radzhi Salleh menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada peserta-peserta dan bantuan sumbangan kepada salah seorang belia masjid berkenaan, Lokman Mohd Kamal, yang ditimpa kemalangan jalan raya.

Turut hadir ialah Pengarah Kem Motivasi, Nasrun Othman, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech, Tuan Haji Elias Saad, Imam Masjid Sungai Seluang, Tuan Haji Abdul Rahman Haji Hassan dan Pembantu Khas Adun Lunas, Mohd Aziz Sukri Mohd Amin.