KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Thursday, February 26, 2009

"Kami Sedia Berpindah".

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 25 Februari - Kemelut 52 keluarga yang selama ini tinggal berpuluh-puluh tahun di atas tanah milik Persatuan Tokong Cina Lunas seluas 2.5 ekar akhirnya mencapai kata putus setelah mereka bersetuju untuk berpindah ke tapak rumah baru.

Persetujuan itu dicapai dalam satu majlis dialog yang diadakan di perkarangan Surau Batu 6 Lunas atas inisiatif Ketua Kampung berkenaan, Alias Ismail dan pihak Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim.

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech, Haji Alias Saad berkata, kesemua 52 keluarga yang terbabit bersetuju untuk berpindah ke rumah baru dengan bayaran ansuran bulanan yang berpatutan.

“Kita akan meminta pihak Jawatankuasa Tindakan Daerah memberi pertimbangan untuk mengekalkan kampung melayu tradisi di sini sebelum memikirkan alternatif yang lain untuk memindahkan mereka,

“sampai bila anak watan yang menetap di sini akan dibiarkan merempat di kampung tradisi sendiri, sedangkan tiada pembelaan dalam bentuk skim perumahan murah yang ditawarkan,










“percayalah, kita akan melihat generasi yang akan datang bertambah pincang dengan ketiadaan kemudahan infrastruktur paling asas di sini iaitu masjid dan sekolah tadika.” kata Haji Alias

Pada majlis itu juga, Haji Alias menyeru penduduk-penduduk meningkatkan kerjasama dengan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan kampung mereka secepat mungkin.

“Wabak aedes dan chikunkunga yang melanda daerah ini harus dicegah seawal-awalnya melalui program gotong-royong. Jika wabak ini tidak dicegah di peringkat awal, serangan penyakit berjangkit ini akan mengancam seluruh penduduk-penduduk di sini tanpa mengira pangkat dan warna kulit.” katanya lagi.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim, Cikgu Hamid Othman.






Ceramah Semasa.


Pekerja Kilang Tuntut Bayaran Pampasan.

Oleh Abd Wahab bin Osman

KUALA KETIL 22 Februari - Kira-kira 22 bekas pekerja kilang WSP Sdn Bhd/Aliran Mujarab Sdn Bhd mendakwa majikan mereka tidak membuat pembayaran berkaitan penamatan yang merangkumi bayaran faedah penamatan kerja, gaji ganti notis dan baki cuti tahunan.

Kilang Aliran Mujarab Sdn Bhd yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Kulim sejak 15 belas tahun dahulu telah memindah nama kilang itu kepada WSP Plastic Sdn Bhd pada 1 hb Ogos 2009.

Bekas pekerja kilang tersebut, Mohd Azmi Mohamed Amin, 34, berkata, “kesemua pekerja-pekerja kilang WSP Plastic Sdn Bhd dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai pekerja Aliran Mujarab Sdn Bhd kecuali 22 orang pekerja kilang itu sahaja yang enggan berbuat demikian.”

Mohd Azmi berkata, kami telah membuat aduan di pejabat Jabatan Tenaga Kerja, Daerah Kulim seminggu selepas dari tarikh mereka diberhentikan.

Berikutan itu, pejabat Jabatan Tenaga Kerja Daerah Kulim yang menerima aduan 22 orang pekerja itu telah menemui pihak pengurusan Syarikat WSP Sdn Bhd yang berjanji untuk membayar pampasan melalui surat akuan oleh pejabat Jabatan Tenaga Kerja bertarikh 5 hb September 2006 (Ruj AND/PTK/KU2006/50(4)).

“kami menuntut agar mana-mana pihak yang bertanggungjawab campurtangan menyelesaikan tuntutan ini dengan segera dan memastikan nasib kami dibela serta tidak dipermainkan oleh pihak Syarikat WSP Sdn Bhd.” katanya

“kami berharap kes yang menimpa ke atas kami ini tidak akan berlaku kepada pekerja-pekerja lain lebih-lebih lagi dalam keadaan kelembapan ekonomi global sekarang.” katanya lagi

Pakatan Rakyat Sedia Bantu SPRM Dokong Ketelusan.

Oleh Abd Wahab bin Osman

SUNGAI PETANI 24 Februari - Masalah rasuah yang mencemar intergriti dan imej kerajaan mendorong Pakatan Rakyat (PR) bersedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penguatkuasaan undang-undang anti-rasuah di Malaysia lebih telus.

Ahli Dewan Negara, YB Senator Ir Haji Zamri Yusuf yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM berkata, kepercayaan yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan dimanfaatkan untuk membantu usaha kea rah membina Malaysia yang lebih berintergriti dan bebas rasuah.

“Restu daripada pimpinan Parti Keadilan Raklyat, khususnya YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk berada dalam jawatankuasa khas ini akan digunakan untuk mempertahankan prinsip kebenaran melalui wadah yang diberikan ini,

“Saya menaruh kepercayaan terhadap Pengerusi jawatankuasa, YB Dato’ Radzhi Sheikh Ahmad agar berusaha menjadikan SPRM lebih bebas dan mewujudkan masyarakat yang dihormati.” kata Senator Zamri Yusuf

“Saya akan memberikan sepenuh pemikiran untuk menjayakan ruang yang boleh dimanfaatkan agar SPRM benar-benar dapat menjalankan proses pembersihan Malaysia daripada rasuah yang jelas haram diamalkan di sisi agama.” katanya lagi

Ketika diminta mengulas pelancaran SPRM oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata, “pelantikan ini merupakan penghormatan kepada ketelusan di bawah pentadbiran kerajaan PR di Kedah yang diterajui oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.”

Selain Senator Zamri, Jawatankuasa Khas Menangani Rasuah itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Radzhi Sheikh Ahmad (BN – Kangar), Datuk Razali Ibrahim (BN – Muar), Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN – Kota Belud), Dr Tan Seng giaw (DAP –Kepong), YB Salahudin Ayob (PAS – Kubang Kerian) dan Senator Datuk Armani Mahirudin.


Monday, February 23, 2009

Gaji Exco Dipotong Lima Peratus

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SUNGAI PETANI – Kerajaan negeri telah menetapkan gaji Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dipotong sebanyak lima peratus.

Pemotongan ini berkuat kuasa serta merta dan dana tersebut akan disalurkan ke Tabung Tunku Mahmud bagi membantu rakyat yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi yang melanda sekarang, demikian menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Muda, di sini.

Manakala gaji kakitangan kerajaan akan dipotong dengan persetujuan daripada pegawai tersebut.
“Kerajaan prihatin mengenai pembuangan kerja yang berlaku, tapi Alhamdulillah di Kedah masih terkawal, Kedah juga ada Intel, tapi pembuangan pekerja bermula di Pulau Pinang.

“Dalam usaha membantu rakyat, kerajaan negeri memutuskan nak potong gaji Exco sebanyak lima peratus, manakala gaji pegawai kerajaan akan dipotong atas persetujuan pegawai tersebut dan peratus pemotongan juga terpulang pada mereka,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, kerajaan sedang memikirkan bagaimana untuk memberi peluang pekerjaan sampingan kepada rakyat yang telah diberhentikan.

“Kerajaan cadang nak buat tempat perniagaan baru untuk orang berniaga dan pada peringkat awal bermula di Stadium Darul Aman, dan ini merupakan sumbangan kerajaan kepada rakyat bagi melaksanakan Kedah Sejahtera.

“Dalam keadaan kegawatan, rakyat memerlukan banyak, jadi kerajaan bersimpati dan Alhamdulillah kerajaan dapat mengawalnya disebabkan amalan belanja berhemah yang diamalkan,” jelas beliau.

Dipetik dari : www.wartakedah.com

Wednesday, February 18, 2009

Pendesak Bekas ADUN Bukit Selambau Keluar Parti Terbongkar

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

ALOR SETAR: Kenyataan bekas aktivis PKR, Zamil Ibrahim yang tampil membuat pengakuan bahawa beliau telah dengan sengaja menaja calon bebas di Pilihanraya Umum Ke 12, V. Arumugam di Bukit Selambau membongkar rahsia bahawa beliaulah antara yang kerap mendesak V. Arumugam keluar parti dan sertai BN.

Demikian diberitahu oleh Senator Ir Zamri Yusuf selaku Pengerusi Biro Latihan PKR Kedah sebagai mengulas isu yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian, bahawa penaja calon bebas Bukit Selambau lalu (V. Arumugam) tidak diugut keluar parti.

“Umum juga boleh melihat dan memahami dari kenyataan itu, bahawa beliau adalah agen yang dimaksudkan oleh V. Arumugam sebelum ini, kerana hanya beliau tahu setakat mana tawaran dan ugutan yang cuba dilakukan oleh agen BN ke atas V. Arumugam.

“Sebenarnya V. Arumugam dan 4 lagi ADUN Keadilan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah sentiasa memberi kerjasama dan berbincang dengan Perhubungan Negeri, khususnya tiga YB ahli Exco termasuk V. Arumugam. Mereka juga dibantu melalui jawatankuasa penyelaras ADUN & MP, yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Johari Abdul, ” ujarnya.

Tambah Senator Ir Zamri lagi, V. Arumugam juga telah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan sepanjang 11 bulan perkhidmatan beliau sebagai ADUN dan EXCO, walaupun dalam keadaan bajet yang terbatas serta pengalaman kali pertama sebagai Wakil Rakyat.

“Malah beliau dapat melaksanakan tugas dengan lebih lancar selepas Zamil dan kawan-kawannya tidak lagi bersama PKR mulai Ogos 2008.
“Tekanan yang dihadapi oleh YB Arumugam untuk mendesak beliau meninggalkan Pakatan Rakyat sebenarnya semakin intensif sejak BN melaksanakan proses menggulingkan Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak.

“Soal bentuk serangan yang lebih bersifat peribadi adalah diantara pendekatan tidak bermoral yang sangat kerap digunakan oleh mereka yang tidak senang hati dengan penerimaan Rakyat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, termasuk mutakhir ini ke atas YB Elizabeth Wong,” terang Zamri.

Katanya, tindakan V. Arumugam memilih untuk mengembalikan hak pilihan kepada rakyat Bukit Selambau adalah satu sikap bertanggungjawab yang seharusnya dipuji bagi pencinta demokrasi.

“Malah beliau member komitmen untuk turut hadir semasa hari proses berkempen sempena Pilihanraya Kecil Bukit Selambau,” ujarnya.

Oleh itu, kata Zamri, Zamil sebenarnya tidak mempunyai hak untuk mengulas isu V. Arumugam kerana beliau juga sebenarnya hanyalah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah semasa Pilihanraya Umum Ke 11.

“Melainkan beliau yang mengaku bertanggungjawab ke atas YB Arumugam sepatutnya menjawab persoalan ramai tentang di mana V. Arumugan berada ketika ini,” ujarnya.

Ceramah Semasa


Tuesday, February 17, 2009

Skim Rondaan Sukarela Akan Diperkenalkan Kembali

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 15 Februari - Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang tidak aktif sejak beberapa tahun dahulu akan diperkenalkan kembali sebagai langkah awal untuk mencegah peningkatan kadar jenayah.di negeri ini.

Peningkatan kes-kes rogol, samun, ragut dan pecah rumah yang melibatkan warga asing telah menyebabkan peningkatan gejala sosial di kawasan-kawasan perumahan dan pinggir bandar.

Ekoran itu, Majlis Perbandaran Kulim melalui Bahagian Perkhidmatan Bandar telah mengadakan Majlis Gotong-royong Bersama Penduduk-penduduk Taman Senangin untuk menyedarkan masyarakat mengenai tahap kualiti kebersihan dan keselamatan.

Taklimat mengenai keselamatan penduduk-penduduk kampung dan taman di situ telah disampaikan oleh Ketua Balai Polis Daerah Kulim (KBP), Cif Inspektor Mohd Azlan Abd Kadir di perkarangan Jalan Senangin, Taman Senangin, Kelang Lama, dekat sini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), YB Mohammad Radzhi Salleh yang berucap pada majlis itu berkata, “untuk menjadi sihat, aktiviti gotong-royong untuk membersihkan persekitaran kawasan mestilah ditingkatkan supaya ia selesa diduduki dan melahirkan masyarakat yang bekerjasama di antara satu sama lain,

“segelintir pendatang-pendatang asing yang menetap di sini telah menimbulkan beberapa masalah dan kerenah kepada pihak kerajaan dengan melakukan jenayah serta mengotorkan kawasan perumahan dengan sampah-sarap,

“kita benarkan mereka mencari rezeki di sini, tetapi tidak bermakna kita mengizinkan mereka melakukan jenayah dan membuat kotor sesuka hati, sedangkan kompromi kita ada batas,

“bahkan ada pendatang-pendatang asing di Felda Bukit Tangga, dekat Sintok mengambil kesempatan untuk menjual diri mereka di negara ini, tetapi mereka tidak berbuat begitu di negara mereka sendiri, akhirnya kita yang mendapat malu.” katanya lagi

Beliau menjelaskan, persekitaran yang selesa bukan bermakna aspek kebersihan sahaja yang perlu ditekankan tetapi lebih daripada itu, ia juga melibatkan pencapaian tahap indeks kadar jenayah dan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik kepada penduduk-penduduk setempat.

Katanya, “marilah kita jadikan Taman Senangin ini sebagai sebuah lagi projek perintis (pioneer) kepada pelaksanaan SRS yang lebih berkesan di samping menjadikan taman ini sebagai sebuah taman yang paling bersih dalam daerah Kulim.”

Majlis Perbandaran Kulim Anjur Kempen Kebersihan

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 14 Februari - Majlis Perbandaran Kulim, Bahagian Perkhidmatan Bandar telah melancarkan Kempen Kebersihan di Taman Senangin, dekat sini ekoran penularan wabak chikukunya dan demam denggi yang semakin meningkat di daerah Kulim.

Pelancaran Kempen Kebersihan itu juga bertujuan untuk menyedarkan semua lapisan masyarakat agar mengutamakan kebersihan yang menyebabkan lima kes jangkitan virus chikukunya di Kulim.

Di samping itu, majlis pelancaran kempen tersebut turut disampaikan taklimat mengenai keselamatan yang disampaikan oleh Ketua Balai Polis (KBP) Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abd Kadir.

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim, Cikgu Hamid Othman yang berucap pada majlis itu berkata, terdapat 600 penduduk yang menetap di Taman Senangin yang berhadapan dengan masalah sampah yang boleh mengundang kepada jangkitan penyakit berjangkit.

“oleh kerana penduduk Taman Senangin dihuni sebahagian besar warga asing, pihak Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menjemput lima buah kilang berhampiran yang menempatkan pekerja-pekerja mereka untuk memberikan kerjasama terhadap program ini,

“malangnya warga asing yang menetap di Taman Senangin dan bekerja di kilang-kilang berhampiran tidak hadir, sedangkan kita telah menjemput pihak polis, pejabat kesihatan dan orang ramai untuk mengambil bahagian,

“taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Cif Inspektor Mohd Azlan sangatlah penting dalam usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di kalangan penduduk-penduduk setempat.

Katanya lagi, kebanjiran warga asing, tidak dinafikan menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di sekitar Taman Senangin yang melibatkan kes-kes pecah rumah, ragut, samun dan rogol.


Beliau menjelaskan semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memastikan keselamatan orang ramai dipelihara dan pada masa yang sama tahap kebersihan dapat dijaga demi kebaikan semua pihak.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), YB Mohammad Radzhi Salleh, ketua-ketua kampung/komuniti dan orang ramai.

Friday, February 13, 2009

Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau Serentak 7 April 2009

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bukit Selambau, akan diadakan serentak pada 7 April 2009.

Tarikh writ dan notis pilihan raya dikeluarkan pada 16 Feb dan 17 Feb.

Penamaan calon 29 Mac.

Tempat penamaan calon dan pusat mengira undi:

  1. Parlimen Bukit Gantang di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Taiping.
  2. DUN Bukit Selambau di dewan Sekolah Menengah Teknik Satu, Sungai Petani.

Daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun Pertama 2008, Suku Tahun Kedua 2008 dan Suku Tahun Ketiga 2008, selaras dengan peruntukan 25(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Buku daftar pemilih pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan akan mula dijual pada 21 Feb (tanpa saluran mengundi) dan pada 25 Feb (dengan saluran).

Pengundi boleh membuat semakan melalui laman web SPR di www.spr.gov.my dan melalui SMS bermula 25 Feb ini dengan menaip SPR No. Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888. Semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi Ibu Pejabat SPR di Putrajaya dan pejabat-pejabat pilihan raya negeri Perak dan Kedah

Thursday, February 12, 2009

YB Radzhi Pangku Semua Potfolio V. Arumugam

Oleh: AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 11 Februari: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Lunas YB Mohamad Radzhi Salleh dilantik memangku semua portfolio yang sebelum ini disandang oleh V.Arumugam. Portfolio berkenaan ialah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Ini berikutan peletakan jawatan V. Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau dan juga Ahli Exco Kerajaan Negeri. YB Mohamad Radzi juga Ahli Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia.Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak berkata pada wartawan semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

“Yang Berhormat Mohamad Radzi akan memangku semua portforlio ini dalam masa sebulan sebelum kita lakukan pertukaran portfolio dalam masa terdekat.”Exco baru yang akan kita lantik nanti terdiri daripada ADUN Parti Keadilan Rakyat juga,” katanya.

Sebelum itu YAB Menteri Besar telah menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kedah kepada Tabung Kemanusia Palestin melalui wakil The News Straits Times Press sebanmyak RM30.000.

Tuesday, February 3, 2009

134 Terima Elaun Ketua Kampung

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 2 Februari - Seramai 73 orang Ketua Kampung/Komuniti dalam kawasan Dun Merbau Pulas dan 61 orang dan dalam DUN Lunas telah menerima elaun masing-masing dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Kelang Lama, dekat sini.

Elaun sebanyak tiga bulan berjumlah RM 900 (Oktober, November dan Disember 2008) itu telah disampaikan oleh Adun Merbau Pulas, YB Ustazah Siti Ashah Gahazali dan Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh disaksikan oleh Pegawai Daerah Kulim, Dato' Abd Rahman Ahmad.

Adun Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh yang berucap pada majlis itu mengingatkan ketua-ketua kampung agar meningkatkan kerjasama dengan semua pihak supaya kekeliruan dan perpecahan di kalangan penjawat awam dapat dielakkan,

Katanya, di sesetengah tempat, berlaku kes penjawat awam terlalu menonjolkan diri dan ingin menjadi hero untuk menjuarai pembelaan segelintir nasib rakyat,

“Kerjasama yang kurang diberikan perhatian menyebabkan perpecahan dan konflik di kalangan rakyat sukar dibendung, dan akhirnya tugas penjawat awam di situ berada dalam situasi berbelah bahagi terutamanya untuk membawa pembangunan yang dirancangkan itu,

“Ketua-ketua kampung hendaklah merenungi sejarah pelantikan mereka dengan penuh sedar dan mengambil iktibar daripada perpecahan yang berlaku itu,

“Sebagai mencapai matlamat mensejahterakan rakyat, hari ini kerajaan negeri memperuntukkan elaun lebih RM 120 ribu kepada ketua-ketua kampung yang kini sudahpun bergelar kakitangan kerajaan,

“Selepas ini pula tuan-tuan bakal melalui ujian yang lebih getir lagi, di mana segala tindak-tanduk para penjawat awam yang dilantik ini akan diperhalusi oleh rakyat melalui parameter (ukuran) keikhlasan dan kejujuran.” kata Adun Lunas.

Sunday, February 1, 2009

Ibu Tunggal Rayu Bantuan

Oleh Abd Wahab bin Osman.

LUNAS - “Sebelum ini sudah dua kali saya memohon bantuan kerajaan, tetapi permohonan saya itu ditolak, dan hari ini saya hanya mengharap ehsan sepenuhnya daripada ahli-ahli keluarga saya.”

Demikian penjelasan Fatimah Said, 69, yang tinggal bersama-sama dengan dua orang adik dan seorang cucu di Kampung Pondok Labu Keladi sejak 35 tahun yang lalu.

Beliau yang lumpuh kedua-dua belah kaki mempunyai dua orang anak yang sudahpun berumahtangga.

Fatimah Said berkata, sejak beliau lumpuh lima tahun yang lalu, keadaannya semakin uzur dan hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh ahli-ahli keluarganya sahaja,

“Dua orang anak saya itu hanya berpendapatan kecil dan mereka itu juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing” katanya.



Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech, Haji Alias Saad yang ditemui menziarahi Fatimah Said berkata, “kedatangan saya ke sini adalah untuk mencari titik pertemuan setelah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim (JKM) berhubung permohonan bantuan Fatimah Said sebelum ini.”

“Saya menghargai keperihatinan pegawai JKM yang segera menghantar pegawainya berkunjung ke rumah Fatimah Said dalam tempoh setengah jam sebaik saya menelefon Puan Rohana di pejabat JKM Daerah Kulim,

“Fatimah Said adalah kategori contoh daripada kalangan wanita-wanita miskin, warga emas dan ibu tunggal yang wajar ditakrif layak oleh mana-mana agensi kerajaan di negeri ini,

“Dia (Fatimah) berhak diberikan pertimbangan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana ia selaras dengan matlamat dasar kerajaan untuk merealisasikan negeri ini sebagai Negeri Berkebajikan.” kata Haji Alias.

Dalam kunjungan muhibah di rumah Fatimah Said itu, Haji Alias Saad menyampaikan sedikit sumbangan hamper kepada Fatimah Said sebagai meringankan bebanan beliau.