KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Thursday, May 28, 2009

Program Di Lunas.

Assalamu'alaikum...,
Kepada semua penduduk Lunas.

Terlebih dahulu saya menyusun kemaafan di atas kesibukan kerja, saya tidak dapat tumpu sepenuh perhatian di Lunas.

Hampir setahun lebih saya lebih menumpu perhatian sepenuhnya tugas-tugas exco, alhamdulillah kestabilan Kerajaan Negeri Kedah bertambah baik dan stabil.

Kini saya akan cuba meluangkan masa lebih di Lunas bagi memastikan Lunas akan lebih berkembang maju dalam apa jua bentuk dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan.

Antara program yang akan saya susun adalah :
  1. Saya akan berada di Lunas pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.
  2. Melakukan lawatan ke setiap daerah DUN Lunas.
  3. Mengadakan perjumpaan bersama Ketua Komoniti dan Ahli Majlis.
  4. Cuba mendapatkan peluang-peluang pembangunan, pertanian dan perniagan.
  5. Menaikkan taraf hidup miskin tegar.

Saya merayu serta memohon daripada semua, sama-samalah kita berusaha memajukan Lunas.

Sekian, terima kasih.

Thursday, May 7, 2009

"Kita Harus Prihatin".

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS - Seorang ibu tunggal, Salasiah Ibrahim, 41, yang menetap di No 2146 Taman Selasih terpaksa memikul beban tanggungjawab yang besar apabila suaminya merengkok di dalam penjara selama 17 tahun di Penjara Kluang.

Beliau yang mempunyai tujuh orang cahaya mata menyara anak-anaknya bekerja sebagai cleaner di Pusat Kesihatan Taman Selasih dengan gaji sebanyak RM 550 sebulan.

Empat anaknya masih bersekolah, dua daripadanya di Sekolah Menengah sementara dua orang lagi di Sekolah Rendah.

Anak Salasiah yang bongsu masih kecil dijaga oleh abangnya yang lembam berusia 17 tahun dan tidak bersekolah sementara menunggu ibu dan ahli-ahli keluarganya pulang ke rumah.

Menurut Ketua Komuniti Taman Selasih, Haji Halim Haji Ismail, beliau sudahpun mengumpul maklumat keluarga Salasiah untuk diproses di dalam sistem e-Sinar.

Pembantu Khas kepada ADUN Lunas, Haji Elias Saad yang dimaklumkan kedudukan keluarga itu segera melapangkan masa menziarahi sambil memberikan sumbangan hamper kepada Salasiah sekeluarga.

“Kita sangat perihatin dengan keadaan ahli-ahli masyarakat yang tidak bernasib baik, apalagi tentang masa depan mereka yang masih lagi bersekolah,

“kita akan cuba membantu mereka sedaya-upaya agar kanak-kanak ini dapat meneruskan pelajaran mereka dengan sempurna dan tidak tercicir di dalam bidang pendidikan.” ujar Haji Elias.

Pesakit Jantung Berlubang Rayu Sumbangan.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS - Penderitaan dua pesakit jantung berlubang yang kini menghadapi masalah kewangan telahpun mendapat perhatian Pusat Khidmat Adun Lunas baru-baru ini.

Hampir enam tahun pasangan suami-isteri, Mazrul Nizam dan Noriati Habib yang tinggal di Taman Bayam 2 Lunas menjaga anak mereka, Nurqasina Aliesya, 6, terlantar di katil kerana mengidap jantung berlubang.

Menurut Mazrul Nizam, anak mereka, Nurqasina, disahkan doktor mengidap jantung berlubang sejak berusia tiga bulan.

“Anak saya sekarang dalam keadaan separuh sedar, walaupun Nurqasina telah menjalani pembedahan di hospital,

“perbelanjaan membeli susu pediasure 10 tin dan pampers setiap bulan mencecah hampir RM 1000,

“Saya tidak mampu lagi untuk menampung kos yang tinggi itu kerana gaji saya sebagai Juruteknik di Kilang Western Digital di Bayan Baru sangat kecil.” kata Mazrul.

Sementara itu, pasangan Nor Azman Nayan dan Emillia Sharifudin yang tinggal di Taman Sawi juga turut menghadapi masalah kewangan untuk menjaga anak mereka, Khaira Raihana yang juga mengidap jantung berlubang

Selain mengalami jantung tidak normal, Khaira Raihana yang berusia 1 tahun 3 bulan itu juga menghadapi masalah pundi kencing bengkak.

“Oleh kerana buah pinggangnya satu, tiub getah (catheter) digunakan untuk membuang saki baki air kencing yang masih ada di dalam pundi-pundi kencing.” kata Nor Azman

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech yang juga pembantu khas kepada Adun Lunas, Haji Elias Saad menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua keluarga pesakit buah pinggang itu.

Wednesday, May 6, 2009

DATO' SERAJA SETIA DATO’ WIRA RASLI DAN DATO’ MOHD PUAT DILANTIK SEBAGAI YB. SUK DAN YB. PEGAWAI KEWANGAN.

Ehsan dari : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kedah.


ALOR SETAR, 6 Mei: Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Rasli Basir dilantik sebagai YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang baru menggantikan Dato’ Bijaya Indera Dato’ Paduka Syed Unan Mashri Abdullah.

Manakala kekosongan yang ditinggalkan oleh YB. Dato’ Rasli sebagai Pegawai Kewangan Negeri diisi oleh bekas CEO Kedah Investment Centre, YB. Dato’ Haji Mohd Puat Hj Mohd Ali.

Majlis angkat sumpah kedua jawatan tersebut di hadapan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, pada 6 Mei 2009 (Rabu), jam 9.00 pagi , di Istana Anak Bukit.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri serta para kenamaan turut hadir di majlis tersebut.

Sistem Perparitan Punca Banjir Kilat.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 16 April - Fenomena keadaan cuaca yang tidak menentu telah menyebabkan masalah banjir kilat berlaku melibatkan beberapa buah kampung di kawasan ini di antaranya ialah sekitar Belakang Taman Kancil, Kampung Nagalilit, Kampung Paya Serdang, Kampung Bukit Sarang Ayam dan Kampung Permatang Durian.

Penduduk-penduduk kampung tersebut mendakwa masalah banjir kilat yang berlaku itu berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna dan ianya masih gagal diatasi oleh pihak-pihak tertentu hingga ke hari ini.

Dalam kejadian hujan lebat itu, sebuah jambatan di Kampung Balik Bukit, Sungai Seluang runtuh sedalam empat meter menyebabkan sistem perhubungan jalan raya di situ terputus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh yang ditemani pegawai-pegawai khas, Jamarrudin Abu Hassan, Haji Elias Saad dan Mohamad Aziz Sukri Mohd Amin turut melawat kampung-kampung yang dinaiki air dan jambatan runtuh.
Dalam lawatan itu, YB Mohammad Radzhi Salleh memberikan sumbangan hamper yang mengandungi beras, roti, gula, kopi dan lain-lain keperluan kepada mangsa-mangsa banjir.

Adun Lunas itu mengarahkan pegawai-pegawai khasnya segera mengemukakan laporan kejadian banjir kilat itu kepada Pegawai Daerah Kulim serta sesalinan kepada Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Kulim (JKR) untuk diambil tindakan serta-merta

“Secara peribadi, saya akan memanjangkan perkara ini kepada pihak atasan agar suatu tindakan yang konkrit diambil serta-merta untuk mengatasi masalah banjir dan jambatan runtuh ini.” kata Mohammad Radzhi.

Mangsa-mangsa banjir turut menerima bantuan makanan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim (JKM) sebaik sahaja dimaklumkan kejadian tersebut.

Tuesday, May 5, 2009

Ibu Tunggal Terpaksa Dayung Rakit.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS - Seorang ibu tunggal, Radziah Yahya, 46, yang mempunyai empat orang cahayamata terpaksa menggunakan rakit setiap kali Kampung Nagalilit dilanda banjir kilat

Menurut Radziah, rumahnya ditenggelami air sedalam 1.5 meter menyebabkan beliau terpaksa menggunakan rakit berukuran empat meter panjang untuk menyeberang hampir 100 meter ke daratan

Ahli Parlimen Padang Serai, YB N. Gobalakrishnan yang melawat Radziah pada tahun ini juga pernah menaiki rakit itu sewaktu banjir kilat berlaku.

Pejabat Daerah dan pejabat penghulu mukim pernah menawarkan skim perumahan KEDA di Nagalilit kepada Radziah sebaik sahaja suaminya, Allahyarham Ustaz Mokhtar Abd Rahman meninggal dunia kerana menghidap ketumbuhan dalam otak.

“Setiap kali berlaku banjir kilat, rumah saya dinaiki air dan saya tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggunakan rakit yang pernah dibina oleh arwah suami saya,

“saya akan berpindah ke rumah KEDA di Nagalilit jika permohonan yang pernah ditawarkan kepada saya diluluskan.” kata Radziah

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech yang juga pembantu khas kepada Adun Lunas, Haji Elias Saad yang melawat Kampung Nagalili memberikan sumbangan hamper kepada ibu tunggal itu.

Monday, May 4, 2009

D'Ceri Rai Anak-Anak Yatim.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS - Berikutan kegawatan ekonomi global, seorang pengusaha bas, Samad Ismail bertekad melabur hampir RM 30 ribu untuk membuka mini esplanade dengan nama “D’ Ceri” di Taman Selasih.

Samad Ismail yang juga dikenali dengan nama Pak Lang berkata, sebagai memenuhi tanggungjawab khidmat sosial, D’ Ceri menawarkan 10 tapak gerai makanan dan minuman kepada warga tempatan Taman Selasih.

Peniaga-peniaga berkenaan dikecualikan daripada membayar sewa tapak setiap bulan sebaliknya mereka hanya perlu menjelaskan bil air dan elektrik di gerai masing-masing sahaja.

Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kulim Hi-Tech yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Taman Selasih Zon 2, Haji Elias Saad berkata, “Di awal kalam, kita menjemput anak-anak yatim yang disayangi Rasulullah untuk meraikan D’Ceri agar usaha-usaha ini mendapat keberkatan.” “Apabila ruang siber disediakan, lebih mudahlah orang-orang dewasa di sini mengawaselia pergerakan anak-anak muda daripada terjerumus ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.” kata Haji Elias.

Sementara itu, Ketua Komuniti Taman Selasih, Haji Halim Haji Ismail berkata, “saya gembira mini esplanade segera dilancarkan kerana di tepi bukit D’ Ceri inilah anak-anak muda sering melepak untuk membuang masa dengan menghisap dadah dan menghidu gam.”

Pada majlis pelancaran D’ Ceri itu seramai 60 orang anak-anak yatim daripada Rumah Anak Yatim BEDAYA, Kulim dan Pertubuhan Pembangunan Anak-anak Yatim Bekas Perajurit Malaysia Daerah Kulim (di Kelang Lama) menyertai majlis bacaan Yassin.