KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Sunday, December 14, 2008

Jabatan Kesihatan Negeri Sahkan 27 Penghidap Chikungunya di Kedah.

SUNGAI PETANI, 14 Dis (Bernama).

Seramai 27 orang penduduk Kampung Sungkap Para, Sungai Lalang di sini dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kerana menghidap demam`Chikungunya'.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kedah Dr Shahidan Hashim berkata keadaan mereka semua dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dimasukkan dua hari lepas.
Katanya kampung tersebut merupakan kampung pertama di negeri ini berlaku kes Chikungunya."Setakat pagi ini, 27 kes sudah disahkan dengan penyakit ini di Kedah, dan langkah pengawalan sedang giat dilakukan bagi mengelak merebak ke kawasan lain yang lebih luas," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Gotong Royong anjuran Jabatan Kesihatan Sungai Petani dan penduduk kampung berkenaan, hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah pesakit akan bertambah sekiranya, langkah pengawalan tidak dilakukan secepat mungkin. "Saya meminta penduduk kampung yang mengalami simptom penyakit itu membuat pemeriksaan di pusat pemeriksaan bagi mengelak keadaan lebih buruk berlaku, serta membersihkan persekitaran rumah terutama tempat pembiakan nyamuk," katanya.
Shahidan berkata salah satu cara untuk mengekang wabak daripada merebak ialah mengenalpasti tempat pembiakan nyamuk kemudian terus memusnahkannya tanpa berlengah teruatama pada peringkat awal pembesaran.
"Nyamuk boleh dimusnahkan pada peringkat awal, tetapi jika dibiarkan hingga ke peringkat matang ia akan terbang dan menggigit penduduk seterusnya terbang ke kawasan lain dan berlaku penularan penyakit ini dengan cepat," katanya.
Walaupun penyakit bawaan nyamuk ini tidak seserius demam denggi oleh nyamuk aedes, katanya namun mereka yang dijangkiti akan menderita sakit sendi dan demam berpanjangan hingga menjejaskan pekerjaan dan pendapatan isi rumah sesebuah keluarga.
Dipetik dari -- BERNAMA.

No comments: