KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Monday, November 24, 2008

Kenyataan Akhbar Isu Babi oleh Pejabat MB.

Kenyataan Akhbar.
Dipetik dari Warta Darul Aman Daily.

Isu Babi: Jawapan Kepada RTM & TV3.

Saya merujuk kepada siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang 19 November 2008 dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam 19 November 2008.

Kedua-dua siaran tv ini melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di Kedah.

Saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua berita tersebut adalah satu pembohongan dan telah memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2009).

Siaran berita tersebut hanyalah berbentuk jahat untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah dan menghasut rakyat untuk bencikan Kerajaan dan berbentuk provokasi.

Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK.4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007 bertajuk: "Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman.

Sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) bagaimanapun TV3 khususnya masih menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

Bagi saya ia jelas satu pembohongan fakta yang amat jelas oleh stesyen televisyen swasta berkenaan dalam siarannya pada 20 dan 21 November melalui slot Buletin Utama.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam sidang akhbar, Menteri Besar juga telah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menghormati keputusan Kerajaan terdahulu (BN) bertarikh 4 Disember 2007 itu dan setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina.

Pembinaan ladang ternakan itu katanya, adalah untuk kebaikan semua pihak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Menurut Ustaz Azizan, bukan hanya ladang babi, jika terdapat ladang ayam, lembu, kambing, kerbau sekalipun telah menimbulkan keresahan rakyat, maka ladang tersebut akan dipindahkan.

Dari penjelasan itu, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri memikirkan satu tempat dan kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan yang mungkin atau telah wujud berpunca dari ladang ternakan tersebut.

Adalah di luar dari jangkauan pemikiran saya jika pemberita TV3 Kedahl ebih suka melihat ladang babi dibina berdekatan kawasan perumahan jika dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memindah dan memusatkan ladang dan sembelihan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Saya juga menjangkakan, jika ladang baru itu nanti terbina sekali pun jauh dari kawasan penempatan, sekali lagi akan ada pihak memainkan isu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah membina ladang ternakan babi yang luas, jika andaian saya ini benar-benar berlaku, sahlah bahawa berita berkenaan bukannya membela hak dan kepentingan rakyat tetapi ia lebih membela hak binatang ternakan tersebut kerana telah dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan yang terpencil.

Mohd. Helmi Mohd. Khalid
Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman.

No comments: