KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Wednesday, February 18, 2009

Pendesak Bekas ADUN Bukit Selambau Keluar Parti Terbongkar

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

ALOR SETAR: Kenyataan bekas aktivis PKR, Zamil Ibrahim yang tampil membuat pengakuan bahawa beliau telah dengan sengaja menaja calon bebas di Pilihanraya Umum Ke 12, V. Arumugam di Bukit Selambau membongkar rahsia bahawa beliaulah antara yang kerap mendesak V. Arumugam keluar parti dan sertai BN.

Demikian diberitahu oleh Senator Ir Zamri Yusuf selaku Pengerusi Biro Latihan PKR Kedah sebagai mengulas isu yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian, bahawa penaja calon bebas Bukit Selambau lalu (V. Arumugam) tidak diugut keluar parti.

“Umum juga boleh melihat dan memahami dari kenyataan itu, bahawa beliau adalah agen yang dimaksudkan oleh V. Arumugam sebelum ini, kerana hanya beliau tahu setakat mana tawaran dan ugutan yang cuba dilakukan oleh agen BN ke atas V. Arumugam.

“Sebenarnya V. Arumugam dan 4 lagi ADUN Keadilan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah sentiasa memberi kerjasama dan berbincang dengan Perhubungan Negeri, khususnya tiga YB ahli Exco termasuk V. Arumugam. Mereka juga dibantu melalui jawatankuasa penyelaras ADUN & MP, yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Johari Abdul, ” ujarnya.

Tambah Senator Ir Zamri lagi, V. Arumugam juga telah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan sepanjang 11 bulan perkhidmatan beliau sebagai ADUN dan EXCO, walaupun dalam keadaan bajet yang terbatas serta pengalaman kali pertama sebagai Wakil Rakyat.

“Malah beliau dapat melaksanakan tugas dengan lebih lancar selepas Zamil dan kawan-kawannya tidak lagi bersama PKR mulai Ogos 2008.
“Tekanan yang dihadapi oleh YB Arumugam untuk mendesak beliau meninggalkan Pakatan Rakyat sebenarnya semakin intensif sejak BN melaksanakan proses menggulingkan Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak.

“Soal bentuk serangan yang lebih bersifat peribadi adalah diantara pendekatan tidak bermoral yang sangat kerap digunakan oleh mereka yang tidak senang hati dengan penerimaan Rakyat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, termasuk mutakhir ini ke atas YB Elizabeth Wong,” terang Zamri.

Katanya, tindakan V. Arumugam memilih untuk mengembalikan hak pilihan kepada rakyat Bukit Selambau adalah satu sikap bertanggungjawab yang seharusnya dipuji bagi pencinta demokrasi.

“Malah beliau member komitmen untuk turut hadir semasa hari proses berkempen sempena Pilihanraya Kecil Bukit Selambau,” ujarnya.

Oleh itu, kata Zamri, Zamil sebenarnya tidak mempunyai hak untuk mengulas isu V. Arumugam kerana beliau juga sebenarnya hanyalah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah semasa Pilihanraya Umum Ke 11.

“Melainkan beliau yang mengaku bertanggungjawab ke atas YB Arumugam sepatutnya menjawab persoalan ramai tentang di mana V. Arumugan berada ketika ini,” ujarnya.

No comments: