KEDAH SEJAHTERA
_______LUNAS_______
Latitude : 5.433333 ~ Longtitude : 100.5333
Latitude (DMS) : 5° 25' 60 N ~ Longtitude (DMS) : 100° 31' 60 E

Wednesday, May 6, 2009

Sistem Perparitan Punca Banjir Kilat.

Oleh Abd Wahab bin Osman

LUNAS 16 April - Fenomena keadaan cuaca yang tidak menentu telah menyebabkan masalah banjir kilat berlaku melibatkan beberapa buah kampung di kawasan ini di antaranya ialah sekitar Belakang Taman Kancil, Kampung Nagalilit, Kampung Paya Serdang, Kampung Bukit Sarang Ayam dan Kampung Permatang Durian.

Penduduk-penduduk kampung tersebut mendakwa masalah banjir kilat yang berlaku itu berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna dan ianya masih gagal diatasi oleh pihak-pihak tertentu hingga ke hari ini.

Dalam kejadian hujan lebat itu, sebuah jambatan di Kampung Balik Bukit, Sungai Seluang runtuh sedalam empat meter menyebabkan sistem perhubungan jalan raya di situ terputus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, YB Mohammad Radzhi Salleh yang ditemani pegawai-pegawai khas, Jamarrudin Abu Hassan, Haji Elias Saad dan Mohamad Aziz Sukri Mohd Amin turut melawat kampung-kampung yang dinaiki air dan jambatan runtuh.
Dalam lawatan itu, YB Mohammad Radzhi Salleh memberikan sumbangan hamper yang mengandungi beras, roti, gula, kopi dan lain-lain keperluan kepada mangsa-mangsa banjir.

Adun Lunas itu mengarahkan pegawai-pegawai khasnya segera mengemukakan laporan kejadian banjir kilat itu kepada Pegawai Daerah Kulim serta sesalinan kepada Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Kulim (JKR) untuk diambil tindakan serta-merta

“Secara peribadi, saya akan memanjangkan perkara ini kepada pihak atasan agar suatu tindakan yang konkrit diambil serta-merta untuk mengatasi masalah banjir dan jambatan runtuh ini.” kata Mohammad Radzhi.

Mangsa-mangsa banjir turut menerima bantuan makanan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim (JKM) sebaik sahaja dimaklumkan kejadian tersebut.

No comments: